Monday, November 13

Jurusolek vs Juruandam - Yang mana pilihan anda?

Tahukah anda perbezaan antara jurusolek dan juruandam? Siapa yang akan anda pilih untuk memenuhi kehendak anda sebagai ‘raja sehari’. Sesungguhnya profesion sebagai jurusolek dan juruandam adalah dua kerjaya yang berbeza. Sila baca artikel ini selanjutnya bagi mendalami perbezaan antara kedua-duanya

Jurusolek
Mereka yang mendalami bidang persolekan adalah mereka yang pakar dalam selok-belok menyolek seseorang mengikut kesesuaian wajah, personaliti dan warna serta konsep pakaian yang dikenakan oleh orang yang disolek tersebut.

Biasanya para jurusolek tidak mempunyai koleksi pakaian baik pakaian komersial mahupun pengantin.

Tetapi mereka mempunyai peralatan solek yang lengkap dan pelbagai. 

Kebanyakan jurusolek hanya berkebolehan dalam menyolek tetapi tidak dalam mendandan rambut. 

Pun begitu masih ada kebaikan apabila anda memilih jurusolek, ini kerana kaedah menyolek yang digunakan adalah mengikut peredaran semasa (up to date). 

Jurusolek profesional akan menyolek seseorang itu mengikut arus solekan semasa dan anda pasti akan berpuas hati dan gembira dengan perubahan wajah anda apabila menggunakan khidmat kepakaran mereka.

Juruandam
Manakala juruandam pula adalah mereka yang berkebolehan dalam menyolek, mendandan rambut dan mempunyai koleksi pelbagai gaya pakaian pengantin. 

Juruandam adalah pilihan yang sesuai bagi bakal pengantin yang berminat untuk menggayakan pakaian pengantin tradisional.

Juruandam berupaya menyediakan segala persediaan perkahwinan secara menyeluruh. 

Hal ini termasuklah menyedia dan menghias pelamin, bilik pengantin, malah amalan tradisional dalam mengandam pengantin seperti khidmat perawatan muka, badan dan sebagainya beberapa hari sebelum majlis perkahwinan berlangsung.

Juruandam juga boleh diibaratkan sebagai wakil kepada ibu kerana mereka berperanan dalam meredakan darah gemuruh si pengantin, sepanjang berlangsungnya majlis persandingan.

Biasanya, kebanyakan juruandam tahu akan selok-belok dalam adat-adat perkahwinan pelbagai kaum. Kebanyakan juruandam adalah dari golongan ‘orang lama’, dengan itu mereka masih mengekalkan solekan ala 60-an. Ha… jangan ingat solekan ala 60-an tu tak cantik, jika kena dengan pakaian yang dipakai, tentunya anda akan tampak cantik. 

Tapi ingat, bukan semua juruandam begitu. Dewasa ini profesion juruandam tidak terikat kepada kaum Hawa sahaja, kerana kini ramai juruandam dari golongan muda dan tidak lupa kepada kaum Adam, maka solekan mereka tentu sahaja berbeza.

Jika begitu, siapa yang akan anda pilih untuk menaikkan seri pengantin pada hari persandingan anda? Pilihan bijak anda akan memberikan keselesaan dan kenangan manis buat anda sebagai raja sehari. Selamat pengantin baru.

No comments: